JOM MELAWAT KUALA LUMPUR

Assalamualaikum and Hi

Terdapat banyak tempat menarik yang boleh diterokai di Malaysia. Malaysia bukan sahaja kaya dengan ekosistem yang menarik, malahan terdapat banyak museum dan tempat menarik yang ada. Kali ini kita akan ke daerah Ibu Kota Kuala Lumpur yang mana, kita dah sediakan 32 Tempat Menarik di Kuala Lumpur [credit

Jadi kepada korang yang ada kesempatan atau baru sahaja nak melancong ke negeri-negeri di Malaysia, korang mesti pergi ke tempat tempat tersebut! Jom Melawat Kuala Lumpur!



32. District 21


Image of District 21 KL
Sumber: District 21

Keluasan playground ‘orang dewasa’ District 21 yang terletak di IOI Mall Putrajaya ini adalah 70,000 kaki persegi, bayangkan betapa banyaknya aktiviti interesting yang berlaku di satu tapak yang sama ni. Kalau anda suka menonton American Ninja Warrior ataupun Fear Factor dan sudah lama teringin nak merasa sendiri bagaimana nervous dan syoknya buat semua ni, District 21 adalah lokasi yang sempurna!
Antara aktiviti-aktiviti yang boleh anda buat untuk mengepam adrenalin anda adalah seperti Sky Trail, The Maze, Power Station untuk mencuba wall climbing, Roller Glider untuk merasai pengalaman ber’flying fox’, Go Pedal untuk bermain go kart, Pump Track untuk bermain basikal, skuter ataupun skateboard, Launch Pad untuk anda yang suka bermain trampolin tapi ini versi yang gempak punya, Free Fall, Low Ropes dan akhir sekali Tubby Ride. Semuanya membuatkan jantung anda berdetak laju. Kalau anda datang bersama anak-anak kecil, jangan risau sebab terdapat juga permainan yang disediakan untuk mereka di mini playground dan juga carousel.
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (12.00pm – 8.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum,Cuti Sekolah (10.00am – 8.00pm)
Harga Tiket: Isnin – Jumaat RM58/pax | Sabtu, Ahad, Cuti Umum,Cuti Sekolah RM75/pax
Alamat: District 21, AT 6, Level 1, IOI City Mall, Lebuh IRC, IOI Resort City, 62502 Putrajaya

31. Taman Burung Kuala Lumpur


Taman Burung Kuala Lumpur
Sumber: KL Bird Park

Banyak tarikan yang terdapat di Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur, dan salah satunya adalah Taman Burung ini dengan tapak yang berkeluasan 20.9 ekar. Di sini, anda dapat melihat sangkar habitat burung-burung yang eksotik yang didatangkan daripada seluruh dunia.
Taman Burung Kuala Lumpur ini terbahagi kepada 4 zon yang berbeza. Anda dapat melihat burung-burung berterbangan bebas dalam Zon 1 dan Zon 2, di Zon 3 pula merupakan habitat bagi burung-burung enggang, dan di zon yang terakhir sekali iaitu Zon 4 adalah tempat pertunjukan burung dan juga tempat pembiakannya. Lagi satu sebab kenapa anda kena melawat Taman Burung Kuala Lumpur ini adalah kerana ia merupakan yang terbesar di dunia. Pencinta burung tunggu apa lagi?
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
Harga Tiket: Dewasa Warganegara: RM27, Pelancong: RM50 | Kanak-kanak (3-11 Tahun) Warganegara: RM13, Pelancong: RM41
Alamat: KL Bird Park, 920, Jalan Cenderawasih, 50480 Kuala Lumpur

30. Petrosains


Petrosains Kuala Lumpur
Sumber: Chinnian

Dengan keluasan 7,000 kaki persegi, banyak sekali yang dapat anda dan keluarga terokai di Petrosains ini. Antara pameran yang terdapat di sini adalah Dark Ride (persembahan audio visual dari zaman pra-sejarah sehingga ke zaman moden di Malaysia), Space (pameran tentang sains angkasa lepas), Speed (pameran kereta Formula 1), Molecule Nano World, 3D Theatre dan banyak lagi.
Waktu Operasi: Selasa –  Jumaat (9.30am – 5.30pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.30am – 6.30pm) | Isnin Kecuali Cuti Umum dan Cuti Sekolah (Tutup)
Harga Tiket: Dewasa MyKAD: RM20, Biasa: RM30 | Kanak-kanak 3-12 Tahun MyKAD: RM8, Biasa: RM18 | Kanak-kanak 2 Tahun & Kebawah Percuma | Warga Emas MyKAD: RM10, Biasa: RM15
Alamat: Level 4, Suria KLCC, PETRONAS Twin Towers, 50088 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

29. Pusat Sains Negara


Pusat Sains Negara Bukit Kiara
Sumber: psn.gov

Pusat Sains Negara ini dibuka pada tahun 1996 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Pameran sains di sini dibahagikan kepada beberapa bahagian berbeza mengikut tema.
Konsep yang digunakan di Pusat Sains Negara adalah untuk menghubungkan penemuan saintifik dengan alam sekitar, nilai-nilai agama, ilmu dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan aplikasinya dalam kehidupan seharian manusia. Bagi anda yang tak begitu meminati subjek sains pun pasti akan teruja dengan cara-cara info sains dan teknologi disampaikan kepada pelawat di pusat sains ini yang penuh dengan kreativiti.
Alamat: National Science Centre, Ministry of Science, Technology and Innovation, Persiaran Bukit Kiara, 50662 Bukit Kiara, Kuala Lumpur

28. Platenarium Negara


Planetarium Negara Kuala Lumpur
Sumber: Maliklip.com

Lokasi Planetarium Negara ini adalah di Taman Tasik Perdana, dari jauh lagi anda dapat melihat rekabentuk bangunan ini yang begitu unik sekali hasil gabungan seni bina Islam dan futuristik. Bangunan yang unik ini adalah salah satu daripada destinasi yang sangat menarik untuk dilawati untuk pengalaman mengembara ke angkasa, lain daripada yang lain bukan?
Di sini terdapat persembahan video di space theater yang mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain daripada itu, terdapat galeri sains angkasa yang mempamerkan enjin Arianne IV yang digunakan untuk melancarkan MEASAT 1. Kemasukan untuk ke galeri sains ini adalah percuma. Jika anda ke dek pemerhatian atau observatory terdapat teleskop yang bersaiz 14 inci. Sangat menarik untuk dilawati bersama keluarga untuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan saintifik berkaitan angkasa.
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.00am – 4.30pm)
Harga Tiket (Tayangan Planetarium): Dewasa MyKAD: RM6, Biasa: RM12 | Kanak-kanak MyKID:RM4,Biasa: RM8
Alamat: Planetarium Negara, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, 53, Jalan Perdana, 50480 Kuala Lumpur

27. Berjaya Times Square


Berjaya Times Square
Sumber:: IQ Remix

Merupakan bangunan kesembilan yang terbesar di dunia dengan 700,000 kaki persegi, Berjaya Times Square menempatkan lebih daripada 1000 kedai. Kalau anda nak shopping di sini, sehari memang tak cukup untuk ke semua kedai yang ada di sini.
Harga-harga pun bermacam-macam, ada murah, ada mahal, boleh rambang mata kalau bershopping di sini. Kedai makan pula terdapat dalam 65 buah untuk dipilih mengikut selera anda. Yang bestnya lagi, dalam pusat membeli-belah ini juga terdapat taman tema indoor yang memiliki banyak permainan yang menyeronokkan termasuklah roller coaster, ya, roller coaster di dalam bangunan, cukup menarik bukan?
Alamat: Berjaya Time Square, No. 1, Jalan Imbi, 55100 Kuala Lumpur

26. Rumah Penghulu Abu Seman


Rumah Penghulu Abu Seman
Sumber: Binatech Mag

Rumah ini merupakan rumah tradisional melayu yang dibina antara tahun 1910 ke awal 1930-an. Pemilik asalnya adalah ketua kampung Mukim Bagan Samak yang terletak di Kedah dan lokasi asal rumah ini adalah di Kampung Sungai Kechil. Pada tahun 1996 Badan Warisan Malaysia telah menyelamatkan rumah ini daripada kerosakan dan dialihkan ke lokasinya sekarang di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur untuk dijadikan contoh rumah melayu lama kepada generasi moden. Rumah ini dikelilingi oleh taman yang ditumbuhi pokok-pokok herba tradisonal.
Bayaran: Sumbangan Minimum Adalah RM10
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (11.00am – 3.00pm) | Ahad, Cuti Umum (Tutup)
Alamat: 2, Jalan Stonor, Kuala Lumpur, 50450 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


25. Taman Rama-Rama KL


Taman-Rama-Rama-Kuala-Lumpur
Sumber: Andrea Puglisi

Dengan keluasan 80,000 kaki persegi, taman rama-rama ini merupakan yang terbesar di dunia. Anda dapat melihat sendiri lebih daripada 6000 spesis rama-rama yang wujud di sekitar tumbuhan eksotik yang dijadikan habitat haiwan comel ini. Walaupun ia merupakan taman yang dikhaskan untuk rama-rama tetapi terdapat juga haiwan lain di sini seperti unggas, penyu, ikan koi Jepun dan serangga eksotik.
Selain daripada taman yang dipenuhi haiwan, taman rama-rama ini turut memiliki muzium yang mengumpulkan koleksi rama-rama dan serangga eksotik yang wujud di seluruh dunia. Kalau anda dah puas berjalan-jalan melihat haiwan-haiwan ini anda boleh singgah ke kedai cenderamata yang terdapat di pintu keluar untuk membeli spesimen kumbang dan rama-rama untuk dijadikan hiasan ataupun kenangan.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
Bayaran Tiket: Dewasa Warganegara: RM12, Pelancong: RM25 | Kanak-kanak Warganegara: RM7, Pelancong: RM14 ; Kamera RM5
Alamat: Kuala Lumpur Butterfly Park, Jalan Cenderasari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur 50480

24. Aquaria KLCC


Aquaria KLCC
Sumber: Phalin Ooi

Aquaria KLCC yang terbesar di dunia ini terletak di dalam salah satu bangunan yang tertinggi di dunia, apa lagi sebab untuk anda tidak datang ke sini? Menempatkan lebih daripada 150 spesis hidupan laut. Yang menjadi tarikan utama di akuarium ini adalah ikan jerung, ular laut, kuda laut dan lain-lain lagi. Pengalaman ke akuarium ini pasti akan menjadi pengalaman yang sangat indah buat ahli keluarga anda.
Selain daripada melihat hidupan-hidupan laut ini yang terbahagi dengan kaca akuarium, anda juga boleh menyertai program Diving with Sharks yang mana sekiranya anda memiliki lesen menyelam anda boleh mendekati jerung ini di dalam air, kalau tak ada lesen pun anda masih boleh menyertai program Cage Rage di mana anda akan dimasukkan di dalam sangkar yang akan diselamkan di dalam air. Jangan risau ya, sebab ikan jerung di akuarium ini telah dijinakkan dan selamat untuk didekati. Pengalaman yang pasti menyeronokkan!
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 8.00pm)
Harga Tiket: Dewasa MyKAD: RM49, Biasa: RM69 | Kanak-kanak MyKID: RM39, Biasa: RM59 | Warga Emas MyKAD: RM39, Biasa: RM49
Alamat: Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur City, 50088 Kuala Lumpur

23. Sky Bridge KLCC


Skybridge KLCC
Sumber: Noor Azam

Pengalaman yang menakjubkan apabila dapat naik ke bangunan tertinggi di Malaysia, Sky Bridge merupakan jambatan yang menghubungkan kedua-dua menara KLCC ini, dari sini anda boleh pergi ke dek pemerhatian untuk menyaksikan pemandangan sekitar bandaraya Kuala Lumpur yang begitu indah.
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.00am – 9.00pm)
Harga Tiket: Dewasa 13-60 Tahun MyKAD: RM30, Biasa: RM85 | Kanak-kanak 3 – 12 Tahun MyKAD: RM15, Biasa: RM35 | Warga Emas 61 Tahun & Keatas MyKAD: RM15, Biasa: RM45
Alamat: Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur

22. Kuala Lumpur Upside Down House


Kuala Lumpur Upside Down House
Sumber: KL Upside Down House

Rumah terbalik yang terletak di Menara Kuala Lumpur ini adalah yang pertama di Kuala Lumpur dan merupakan rumah terbalik yang tertinggi di Malaysia. Kesemua kedudukan barangan tidak kira dari luar mahupun dalaman rumah ini adalah dalam kedudukan yang terbalik.
Unik dan pastinya satu pengalaman yang mengujakan terutama bagi kanak-kanak. Daya tarikan Upside Down House ini bukan sahaja pada rekaannya yang melawan graviti dan tak masuk dek akal, tapi juga dengan penggunaan warna-warninya yang begitu ceria, memang syok untuk bergambar kalau dah sampai ke sini.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 7.00pm)
Harga Tiket: Dewasa RM15 | Kanak-kanak RM10
Alamat: Off, Jalan P Ramlee & Jalan Puncak, 50250 Kuala Lumpur (KL Tower)

21. Dewan Filharmonik Petronas


Dewan Filharmonik Kuala Lumpur
Sumber: Zai Joehurry

Bagi pencinta muzik, di sinilah syurga untuk anda melayani irama lagu dan orkestra dengan kualiti yang sangat mengasyikkan. Pemandangan di dalam dewan ini sendiri begitu mengujakan dan kelihatan mewah sekali. Di sinilah banyak persembahan-persembahan muzikal yang bertaraf dunia telah diadakan. Tiada sebab untuk anda tidak meluangkan masa untuk ke dewan ini, jangan lupa untuk berpakaian yang sesuai di tempat yang grand ini ya.
Alamat: Jalan Ampang, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur

20. Muzium Tekstil Negara


Muzium Textile Kuala Lumpur
Sumber: Muzium Tekstil Negara

Terletak di sebuah bangunan bersejarah di Dataran Merdeka, bangunan ini memiliki ciri seni bina Mughal iaitu gabungan seni bina Turki, Persia, Asia-Selatan dan juga Islam. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1905 dan digunakan sebagai ibu pejabat Keretapi Persekutuan Tanah Melayu.
Mulai tahun 2010, bangunan ini digunakan sebagai Muzium Tekstil Negara. Terbahagi kepada 2 tingkat dengan 4 galeri yang berbeza. Untuk tingkat yang pertama terdapat Galeri Pohon Budi yang menempatkan pameran bahan-bahan dan teknik-teknik pembuatan tekstil sejak zaman dahulu.
Kemudian di Galeri Pelangi terdapat pameran jenis-jenis batik yang berbeza serta koleksi-koleksi tekstil daripada kaum Cina, dan komuniti Baba Nyonya serta tekstil daripada etnik Sabah dan Sarawak.
Di Galeri Teluk Berantai pula anda dapat melihat pameran motif-motif tekstil kaum Melayu dan lain-lain lagi. Di bahagian yang terakhir iaitu Galeri Ratna Sari terdapat pameran aksesori-aksesori tradisional yang digunakan oleh komuniti-komuniti yang wujud di Malaysia. Banyak yang dapat dipelajari di muzium ini terutama sekali tentang kekayaan budaya yang wujud di Malaysia. Sangat menarik untuk dilawati.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
Harga Tiket: Percuma
Alamat: National Textile Museum, 26 Jalan Sultan Hishamuddin, 50500 Kuala Lumpur.

19. Bank Negara Museum & Art Gallery


Bank Negara Art Gallery
Sumber: Bank Negara Museum & Art Gallery

Di Bank Negara Museum & Art Gallery anda dapat belajar lebih banyak lagi tentang ekonomi di Malaysia serta sejarahnya. Selain itu, terdapat juga info-info tentang perbankan Islam, galeri yang memaparkan hasil seni kontemporari dan banyak lagi. Terbahagi kepada 6 galeri iaitu Galeri Seni, Galeri Perbankan Islam, Galeri Numismatik, Galeri Kanak-kanak, Galeri Ekonomi dan Galeri Bank Negara Malaysia. Cara yang terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga sambil mengisi ilmu di dada, masuk pun percuma, jadi apa lagi?
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Sasana Kijang, 2 Jalan Dato’ Onn, 50480 Kuala Lumpur

18. Bangunan Sultan Abdul Samad


Bangunan Sultan Abdul Samad
Sumber: Kuala Lumpur City Tours

Berhadapan dengan Dataran Merdeka, dinamakan sempena nama Sultan Selangor pada tahun ia mula dibina iaitu pada 1894. Bangunan ikonik di Kuala Lumpur ini telah diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007.
Bangunan yang turut memiliki menara jamnya ini telah dirasmikan buat pertama kalinya pada ulang tahun kelahiran Queen Elizabeth pada tahun 1897. Yang menjadikan bangunan ini begitu penting dalam sejarah di Malaysia adalah pada ketika di mana waktu bagi Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura diseragamkan pada 1 Januari 1982. Lawatilah bangunan ini untuk melihat sendiri lokasi di mana banyak peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia telah berlaku.
Waktu Operasi: Setiap Hari (24 Jam) Kecuali Sabtu dan Ahad
Alamat: Jalan Raja, Kuala Lumpur City Centre, 50050 Kuala Lumpur

17. Dataran Merdeka


Dataran Merdeka
Sumber: Phalin Ooi

Nama asal dataran ini adalah Selangor Club Padang ataupun Padang. Namun setelah hari yang paling bersejarah bagi rakyat Malaysia diraikan di sini, iaitu pada 31 Ogos 1957 di mana kemerdekaan Malaysia telah dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman, padang ini telah digelar sebagai Dataran Merdeka.
Di sinilah Union Flag telah diturunkan iaitu tepat pada pukul 12 tengah malam, 31 Ogos, sebagai simbol kebebasan negara daripada penjajahan. Untuk pengetahuan anda, tiang bendera yang mengibarkan jalur gemilang di sini merupakan yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 95 meter. Kalau anda datang ke sini bersama keluarga, anda boleh bersantai di padang ini, banyak juga permainan yang dijual di tepi padang untuk dibelikan kepada anak-anak supaya mereka dapat bermain di padang yang luas ini. Anda pula boleh menikmati pemandangan sekeliling yang sangat memukau.
Alamat: Dataran Merdeka, 57000 Kuala Lumpur

16. Muzium Of Asian Art


Museum Of Asian Art Kuala Lumpur
Sumber: Canadian Society For Asia Arts

Terletak di Universiti Malaya, muzium ini terkenal dengan koleksi kendi yang terbanyak di dunia. Anda dapat melihat lebih daripada 2000 hasil-hasil seramik yang dikumpulkan daripada Malaysia, India, Iran, Khmer, Vietnam, Thailand, China dan Jepun. Selain itu, terdapat juga galeri-galeri lain yang menempatkan koleksi hasil seni Islam, hasil lukisan daripada karyawan Malaysia, senjata-senjata, ukiran batu dan banyak lagi.
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Sabtu Ahad, Cuti Umum (Tutup)
Alamat: Museum of Asian Art, University Malaya, Kuala Lumpur, 50603

15. Taman KLCC


Taman KLCC
Sumber: KKKL Travel Tours

Kalau anda ke KLCC jangan lupa untuk bersantai di Taman KLCC.  Penuh dengan kehijauan, lanskap taman ini telah direka bentuk oleh Roberto Burle Marx, seorang arkitek lanskap Brazil yang terkenal di dunia, dikatakan bahawa ini merupakan hasil seni agungnya yang terakhir sebelum pemergiannya. Taman yang berkeluasan 50 ekar ini turut memiliki laluan joging, ruang santai, hiasan air terjun, kolam, tasik dan taman permainan kanak-kanak. Waktu yang paling menarik untuk lepak di taman ini adalah pada waktu malam dan waktu ketika pertunjukan air diadakan iaitu setiap hari semasa tengah hari dan senja.
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am –  10.00pm)
Alamat: Jalan Ampang, Kuala Lumpur City Centre, 50450 Kuala Lumpur

14. Blok Space


Block Space
Sumber: Blok Space

Untuk anda yang kaki shopping tapi dalam masa yang sama risaukan keselamatan anak-anak masa anda tengah sibuk mencari barang, apa kata kalau bawa anak-anak anda ke sini? Banyak di buka di pusat-pusat membeli-belah, tempat yang sangat colourful, Blok Space merupakan sebuah lokasi di mana anak-anak dapat bermain lego sambil berinteraksi dengan kanak-kanak lain untuk berkongsi idea dalam pembinaan rekaan mereka.
Satu suasana yang positif untuk membantu perkembangan kanak-kanak agar menjadi lebih kreatif, bersifat ingin tahu dan pandai merealisasikan idea mereka. Sesuai untuk kanak-kanak yang berumur 5 hingga ke 14 tahun. Anak-anak dapat meluangkan masa menggunakan stok blok-blok lego yang tak pernah habis ini mengikut kreativiti mereka, anda pula boleh menggunakan waktu itu untuk bershopping sakan, win-win!
Waktu Operasi: Bergantung kepada cawangan BlockSpace
Harga Tiket: RM18
Alamat: Terdapat 5 cawangan di sekitar KL dan Petaling Jaya iaitu: IPC Shopping Centre Damansara, The School Jaya One, Main Place USJ 21, Empire Shopping Galery, 1 Mont Kiara.

13. Hutan Simpan Bukit Nenas (Teman Eko Rimba KL)


Hutan Simpan Bukit Nenas
Sumber: Doan Vu Hoang Minh

Hutan Simpan Bukit Nenas ini adalah hutan simpan yang paling tua di Semenanjung Malaysia. Dikenali sebagai ‘green lung’ Kuala Lumpur kerana terletak di tengah-tengah bandaraya metropolitan yang dipenuhi bangunan tinggi. Sebagai hutan yang tertua di semenanjung, anda dapat melihat pelbagai jenis flora dan fauna di sini, bagaikan jauh dari kota.
Anda boleh ke sini bersama keluarga kerana hutan ini turut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti pondok untuk bersantai, padang permainan, tempat berkhemah dan laluan joging. Bolehlah anda merancang bersama keluarga untuk ke sini kalau tiada apa-apa untuk dibuat pada hujung minggu.
Waktu Operasi: Setiap Hari Termasuk Hujung Minggu dan Cuti Umum (7.00am – 6.00pm)
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Hutan Simpan Bukit Nenas, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, 50250 Kuala Lumpur

12. Taman Orkid Kuala Lumpur


Taman Orchid Kuala Lumpur
Sumber: The Jerny

Bagi anda yang suka bercucuk-tanam ataupun pencinta tumbuh-tumbuhan yang penuh warna-warni ini, apa kata kalau anda dan keluarga melawat Taman Orkid Kuala Lumpur ini, terletak dekat sahaja dengan Taman Burung KL, di taman orkid ini anda dapat melihat lebih daripada 3000 jenis pokok orkid yang disusun atur dengan menarik sekali. Taman ini menjadi pusat jualan orkid-orkid yang hidup segar pada setiap hujung minggu, kalau anda ingin menghias rumah dengan tumbuhan segar datanglah ke taman ini pada hujung minggu.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
Harga: Isnin – Jumaat Percuma | Sabtu, Ahad, Cuti Umum RM1
Alamat: Jalan Perdana, Taman Tasik Perdana, Wilayah Persekutuan, 50480 Kuala Lumpur

11. Istana Budaya


Istana Budaya
Sumber: Istana Budaya

Terletak berdekatan dengan Tasik Titiwangsa, bangunan yang memiliki seni bina kebudayaan Melayu ini merupakan tempat pementasan pelbagai persembahan sama ada lakonan, tarian mahupun muzik. Bukan calang-calang persembahan-persembahan yang boleh diadakan di sini. Jadi kalau anda berpeluang, bawalah keluarga anda menikmati persembahan berkualiti tinggi di Istana Budaya. Anda boleh melihat jadual persembahan di laman web Istana Budaya.
Alamat: Jalan Tun Razak, Titiwangsa, 50694 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

10. Taman Rusa Dan Kancil


Taman Rusa Dan Kancil
Sumber: The Jerny

Juga terletak di Taman Tasik Perdana, taman yang berkeluasan 1.5 hektar ini menempatkan rusa-rusa yang didatangkan dari Belanda dan kancil. Anak-anak anda boleh memberi makan kepada haiwan-haiwan ini. Pemandangan sekitar taman ini juga agak menarik untuk anda bergambar. Taman ini tidaklah segempak zoo negara, kemasukan pun percuma sahaja, tapi seronok juga dapat melihat haiwan yang rare ini dengan lebih dekat kan?
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Taman Rusa & Kancil Kuala Lumpur, Tasik Perdana, Kuala Lumpur

9. Galeri Petronas KLCC


Galeri Petronas
Sumber: Galeri Petronas

Galeri Petronas merupakan lokasi utama galeri seni visual di Kuala Lumpur, dengan keluasan 2000 kaki persegi ini, terdapat lebih daripada 1000 hasil karya yang dihasilkan oleh karyawan tempatan, antarabangsa, kontemporari dan tradisional. Karya-karya seni yang terdapat di sini bukan sahaja lukisan, malahan juga pakaian, kraftangan dan foto. Mungkin anda boleh mendapat inspirasi untuk menghasilkan karya anda sendiri setelah berkunjung ke sini?
Waktu Operasi: Selasa -Ahad (10.00am – 8.00pm)
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Lot 341-343, Level 3, Suria KLCC Kuala Lumpur, Kuala Lumpur City Centre

8. Pasar Seni


Pasar Seni
Sumber: Gaucin Gypsy

Untuk anda yang menyukai barangan hasil kraftangan, Pasar Seni ataupun Central Market adalah lokasi yang wajib dikunjungi. Menawarkan banyak pilihan barangan tempatan, anda pasti rambang mata terutamanya apabila melihat harga yang ditawarkan masing-masing tak nak kalah untuk mendapatkan pelanggan. Sudahlah begitu, sejuk lagi tu dengan penyejuk udara di seluruh pasar ini, anda dapat membeli-belah dalam keadaan yang selesa sekali. Kalau dah penat membeli-belah, anda boleh ke tingkat satu Pasar Seni ini untuk makan di gerai-gerai yang terdapat di sini. Lepas makan, kalau anda nak cuba mencanting batik pun ada di sini.
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00am – 9.30pm)
Alamat: Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur 50050

7. Perpustakaan Kuala Lumpur


Perpustakaan Kuala Lumpur
Sumber: Extrumedia

Dibina pada tahun 1989, perpustakaan ini memiliki koleksi monograf, muzik, majalah, suratkhabar, bisnes, ekonomi, seni dah banyak lagi. Kemudahan lain yang terdapat di perpustakaan ini adalah bilik-bilik mesyuarat, dewan serbaguna, dua buah galeri pameran, kemudahan internet dan juga auditorium. Kalau anda membawa anak-anak yang berusia 4 ke 12 tahun, bersebelahan sahaja daripada perpustakaan ini adalah Perpustakaan Kanak-kanak Kuala Lumpur. Membaca kan jambatan ilmu, apa lagi yang ditunggu-tunggu?
Waktu Operasi: Isnin (2.00pm – 6.45pm) | Selasa – Jumaat (10.00am – 6.45pm) | Sabtu, Ahad (10.00am – 5.00pm) | Sabtu & Ahad Minggu Pertama Setiap Bulan & Cuti Umum (Tutup)
Yuran Keahlian: Pendaftaran RM6 | Yuran Tahunan RM10
Alamat: No. 1, Jalan Raja, 50050 Kuala Lumpur.

6. Perpustakaan Kanak-kanak Kuala Lumpur


Perpustakaan Kanak -Kanak Kuala Lumpur
Sumber: Perpustakaan Kuala Lumpur

Apa yang membezakan perpustakaan kanak-kanak dan perpustakaan biasa ya? Kalau anda nak tahu, bukan sahaja terdapat perbezaan dari segi buku-buku yang ditawarkan di sini tetapi, untuk kanak-kanak, terdapat sesi bercerita, pertunjukan boneka, permainan papan dan macam-macam lagi yang membuatkan kanak-kanak seronok untuk ke perpustakaan. Selain itu, buku-buku yang mudah untuk dibaca bagi yang baru belajar mengeja diletakkan pada rak yang sama. Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya, nak anak suka membaca, bawalah mereka ke perpustakaan sejak kecil lagi.
Waktu Operasi: Isnin (2.00pm – 6.45pm) | Selasa – Jumaat (10.00am – 6.45pm) | Sabtu, Ahad (10.00am – 5.00pm) | Sabtu & Ahad Minggu Pertama Setiap Bulan & Cuti Umum (Tutup)
Alamat: No. 1, Jalan Raja, 50050 Kuala Lumpur

5. Taman Tasik Titiwangsa


Taman Tasik Titiwangsa
Sumber: Rattachai Nunthaworrarat

Taman tasik ini agak terkenal dalam kalangan warga kota Kuala Lumpur untuk bersantai menenangkan fikiran. Di sini terdapat beberapa buah tasik yang luas di tengah-tengah taman.  Di tasik ini anda boleh melakukan aktiviti menarik seperti menaiki paddle boat dan bermain Unexs waterball. Selain itu, tasik ini turut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, laluan joging, trek kereta kawalan jauh dan kemudahan menunggang kuda. Agak meriah jugalah taman tasik ini kalau di hujung minggu. Untuk anda yang datang untuk bersantai, terdapat beberapa gerai yang menjual makanan dan minuman di sekitar taman tasik untuk dibeli sambil menikmati pemandangan sekeliling.
Alamat: Tasik Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur

4. Muzium Polis


Muzium Polis Diraja
Sumber: Kami Tabik PDRM

Muzium ini mempamerkan lebih daripada 2,500 koleksi barangan bersejarah. Antara yang dipamerkan di sini adalah senjata-senjata hasil rampasan daripada komunis pada zaman darurat dulu, koleksi keris, pisau Gurkha, pistol Portugis dan senjata-senjata lain hasil pengubahsuaian daripada barangan harian oleh penjenayah di Malaysia seperti daripada rantai basikal dan banyak lagi. Selain daripada senjata, muzium ini turut mempamerkan pakaian seragam polis pada zaman dahulu serta dokumen-dokumen yang telah dirampas dari komunis. Kedengaran menarik kan?
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00am – 6.00pm) | Isnin (Tutup)
Harga Tiket: Percuma
Alamat: 5, Jalan Perdana, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur

3. Pusat Kraftangan Negara


Pusat Kraftangan Negara
Sumber: Malaysian

Bangunan yang mempunyai seni bina tradisional Melayu Terengganu ini sangat menarik untuk dilawati sama ada untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang hasil kraftangan di Malaysia ataupun untuk membeli-belah. Di sini terdapat banyak barangan kraftangan menarik yang bukan sahaja sesuai untuk dijadikan hadiah kepada yang tersayang, malahan, terdapat juga barangan-barangan yang boleh dijadikan dekorasi rumah.
Hasil seni kebanyakan barangan di sini penuh dengan perincian dan sukar untuk ditemui di tempat lain. Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat butik yang menjual pakaian-pakaian tradisional Melayu seperti batik dan sutera. Tak cukup dengan itu, selepas puas membeli-belah, anda boleh singgah ke Muzium Kraf yang terdapat di sini untuk melihat pameran artifak bersejarah seperti peralatan yang digunakan pada masa dahulu untuk menghasilkan kraf dan banyak lagi. Kalau anda ke Perkampungan Kraf yang terdapat di pondok-pondok kecil di bahagian bawah bangunan ini pula, anda dapat mencuba sendiri mencanting batik, melihat demonstrasi ukiran kayu, seramik dan macam-macam lagi.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 7.00pm)
Alamat: Jalan Conlay, Kuala Lumpur, 50450 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

2. Taman Botani Kuala Lumpur


Taman Botani Kuala Lumpur
Sumber: Phalinn Ooi

Taman rekreasi ini merupakan yang paling popular di Kuala Lumpur. Manakan tak terkenalnya, destinasi-destinasi menarik banyak berada di sekitar taman ini juga seperti Tugu Negara, Taman Orkid, Taman Rama-rama dan banyak lagilah. Bercakap tentang taman botani ini pula, ia sememangnya syurga bagi pencinta taman dan tumbuh-tumbuhan, kerana rekaan taman ini sangat menarik sekali dengan kepelbagaian tumbuhan dan bunga yang penuh warna-warni, bagi anda yang suka berfotografi, jadikan ini lokasi lawatan anda yang seterusnya, mesti puas hati!
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
Harga Tiket: Percuma
Alamat: Jalan Kebun Bunga, Tasik Perdana, 55100 Kuala Lumpur

1. Masjid Wilayah


Masjid Wilayah
Sumber: Mohammed Qasem

Reka bentuk masjid ini diinspirasikan daripada Masjid Biru yang terletak di Istanbul dengan gabungan seni bina Turki dan Melayu. Masjid ini memiliki ruang solat yang sangat besar sehingga mampu menampung dalam 15,000 jemaah pada satu-satu masa.
Di sekitar masjid ini terdapat air pancut dan juga tumbuhan-tumbuhan hijau yang terjaga dengan baik sekali. Kecantikan masjid ini tidak dapat diluahkan dengan kata-kata dan tidak cukup dengan hanya melihat pada gambar, anda perlu datang sendiri dan lihat dengan lebih dekat lagi sentuhan yang penuh perincian pada setiap sudut masjid ini yang kelihatan begitu tenang dan indah.
Alamat: Masjid Wilayah, 50480 Jalan Duta, Kuala Lumpur
Tempat menarik di Kuala Lumpur yang mana menarik hati anda? Mesti ada bukan, apa lagi yang ditunggu, rancanglah percutian anda dari sekarang supaya tak adalah anda sekeluarga kebosanan terperap di rumah sahaja pada hari-hari yang lapang. Kalau anda tinggal jauh daripada Kuala Lumpur, anda boleh membaca artikel kami untuk memilih penginapan yang terbaik daripada 25 hotel menarik di Kuala Lumpur ataupun lawati booking.com untuk membuat tempahan hotel yang best dengan harga yang sangat murah. Jangan buang masa dengan perkara bosan lagi, jom ke KL untuk life yang lebih happening!

No comments:

Post a Comment