AKU DAN DIRIKU


Kesunyian bukanlah sesuatu yang asing bagiku. Melihat kembali perjalanan hidupku beberapa tahun kebelakangan ini, membuatku terfikir. Bilakah kali terakhir aku berjuang bersama orang yang aku harapkan? Letih hati mengingatkan bahawa berjuang sendiri itu tidak nyaman. Berjuang sendiri itu, perlu tenaga yang berkali ganda, kerana tanpa tulang empat kerat ini, masakan mungkin bergerak kehidupan ini. Berjuang sendiri itu mengajarkan aku, untuk lebih berani menghadapi risiko. Berjuang sendiri itu memberikan aku pemikiran yang lebih matang dalam menentukan pilihan. Bagiku, kesunyian melahirkan rasa perjuangan. Kerana tanpa perjuangan, hidup ini tidak akan berjalan.

Berulang kali aku gagal dan disetiap kegagalan itu, aku kongsikan bersama orang sekelilingku. Aku mendapat pelbagai reaksi dan juga kata-kata semangat. Ada juga yang meremehkan aku, berkata aku tidak mampu. Tapi apa pilihan yang aku ada? Selain berjuang untuk hidup. Satu persatu cebisan kehidupan aku susun, dari tersungkurnya diriku di lembah penyesalan hingga bangunnya diriku mencari titik pengharapan. Kini, aku lebih kuat berbanding aku yang sebelumnya. Terima kasih jasad, kau tetap ada disetiap hela nafasku. Paling tidak, hanya kau yang aku ada di saat dunia membelakangiku.

Wahai diriku, kita sudah bertahun-tahun lamanya bersama tapi begitupun aku masih belum mengenalmu. Setelah apa yang kita lakukan bersama, aku merancang untuk tahu lebih banyak tentang kau mulai sekarang. Aku tahu kau telah melakukan yang terbaik. Maaf, andainya aku terlalu menghukummu dan memperlakukan kau dengan buruk. Dan maaf andainya aku membuatkan kau terasa kecil. Aku betul-betul minta maaf. Aku membuatkan kau bekerja keras, demi aku. Pasti sukar bagimu. Kau pasti ingin menangis tapi kau bertahan dengan senyuman. Terima kasih kerana kuat, sayang. Oleh itu, aku ingin kau bahagia mulai sekarang. Lupakan hari kemarin, dan hiduplah untuk hari ini. Setiap hari, fikirkanlah masa depanmu. Lakukan apa yang ingin kau lakukan dan lakukan apa yang kau suka. Dan teruslah mencari jawapan untuk setiap persoalanmu. Jadilah seorang pemenang, kau pasti akan berjaya pada akhirnya. Harapanku, jadilah kuat bersamaku hingga ke akhir.

Kadang aku terasa lemah dengan setiap dugaan dan cabaran hidup. Aku rasa dunia tidak adil. Aku tidak sedar bahawa yang kejam, bukan dunia ini. Hanya saja aku yang belum mengenal dunia. Aku terleka. Tapi aku sedar, bahawa ceritaku tidak berhenti sampai disini. Sesakit apapun jalan cerita hidupku, perjuangan perlu diteruskan. Kita hanya mampu menadah tangan dan meminta. Jangan pernah putus asa, ada sebab kenapa kita dicipta. Semoga segala percaturan hidup, diselesaikan oleh Yang Maha Esa.

3 comments:

  1. SALAM

    SABARLAH MENGHADAPI

    ADAKALA IMPIAN MASIH SEKADAR IMPIAN

    HARAPAN MASIH SEKADAR HARAPAN

    SELAGI BELUM TIBA WAKTU IMPIAN DAN HARAPAN SEMAKIN MENJAUH

    HANYA TUHAN YANG MAHA ESA MENENTUKAN SEGALANYA

    ReplyDelete
  2. Kinda reflect myself reading this blog.
    Need to appreciate and talk to myself tonight.
    I need to appreciate myself more.

    ReplyDelete