AKU KEMBALI.
Kau pernah rasa sunyi? Aku pernah. Kau pernah rasa diabaikan? Aku pun pernah. Kau pernah rasa sendiri? Aku, pernah. Mungkin perasaan kita sama tapi jalan cerita yang lain. Aku pernah berharap, berharap untuk bahagia. Aku dah jalani kebahagiaan itu beberapa tahun lepas. Tapi aku terleka, aku terlupa, kebahagiaan itu tak kekal selamanya. Sifat penyendiri itu harus ada. Supaya kita lebih muhasabah diri. Supaya kita mampu mengumpul kekuatan, supaya kita mampu berfikir. Dengan cara tu, kita boleh menulis semula jalan kehidupan kita.
Beberapa tahun dulu, aku seorang yang kasar, keras, nakal, tapi setakat nakal gitu-gitu jela. Tak buat benda aneh aneh. Aku rasa, aku tak patut jadi macamtu. Aku perlu berubah demi masa depan aku. Aku berjalan melalui liku-liku kehidupan yang mana aku rasa aku perlu pergi jauh, untuk lebih berdikari. Tiba aku di suatu tempat, yang penuh dengan pengharapan, impian, kejayaan aku berehat sejenak di suatu pokok. Pokok ni tidaklah kukuh, tetapi nyaman untuk berteduh, untuk bercerita, untuk bergembira, untuk memberi peluang kepada aku belajar tentang kehidupan baru. Terasa seperti indah, apabila ia menghadiahkan aku buah-buahan dari dahannya sendiri. Walaupun setiap hari, dedaun ditubuhnya gugur mencecah bumi, ia tidak berhenti untuk membuat aku tenang, membuat aku tidak sunyi, malah mampu membuatku berasa cukup dengan hanya ada lindungannya.
Kadang kala, ia bergoyang ditiup oleh sang angin. Kadang kala, ia terpaksa menahan peritnya panas sang mentari. Kadang kala, ia terpaksa menepis kuatnya sang ribut. Tapi tidak pernah sedikit pun ia mengadu kepadaku, yang ia sudah letih. Ia tetap berusaha untuk melindungiku, ia tetap berusaha untuk membahagiakanku. Aku berasa tenang. Sampai suatu masa, aku rasa aku perlu kembali ke tempat asalku. Waktu seiring berjalan, tidak menyangka bertahun berada disisinya, aku mengumpul kekuatan untuk meninggalkannya demi masa depanku. Aku sedar, bahwa keletihan itu wujud. Aku tidak menyalahkan takdir, tapi mungkin ini adalah yang terbaik untukku.
Wahai pokok, teruslah membesar dengan baik. Andai saja kau tahu, betapa susah untuk membajamu sehingga kau menjadi sekukuh sekarang. Berlawanlah dengan tanah, angin, air, matahari dan sekelilingmu agar kau tetap teruskan perjuanganmu. Sekiranya aku ditakdirkan untuk kembali, aku ingin melihat kau tumbuh dihiasi oleh buah-buahan ranum dan bunga-bunga yang indah mekar. Sekiranya kita ditakdirkan bertemu, dengan izin yang Maha Kuasa, aku ingin bertemu kau kembali dan menyampaikan salam rinduku padamu. Kau adalah sebahagian dari kenangan bermainku dahulu. Kau adalah kenangan terindahku. Kau adalah sumber kekuatanku. Dan, sekiranya aku diberi pilihan untuk memutarkan waktu atau melompat ke masa hadapan, akan kupilih mundur ke waktu kita bermain dulu. Kata orang, tempat yang jauh lagi dikenang inikan pula tempat bermain. Tetaplah membesar, tetaplah bahagia. Semoga bahagia menjadi milik kita.
Kini setelah kembali, aku ingin menjadi seperti diriku yang dulu. Bukan berubah, hanya ingin mencuba untuk hidup kembali. Disaat aku mengejar impianku, mengejar pengharapanku, aku ingin sekali berteduh. Tapi sayang, tidak ada pokok disini. Kalaupun ada, ianya tidak sama. Ah, mungkin aku terlalu sentimental. Tapi itulah yang terjadi. Aku akan kembali, menjadi diriku yang dulu. Aku yakin, kehidupan ini adalah buku yang terbaik. Hanya kita yang mampu memilih untuk menulis jalan cerita seperti apa yang kita inginkan. Disetiap kesusahan, akan tersisip kesenangan pada akhirnya. Percayalah, kita sebagai hamba yang sabar, teruskanlah bersabar. Mungkin ada perkara yang Tuhan nak ajar.
No comments:
Post a Comment